Lompat Parti: Kembali bersemarak...

Isu lompat parti kini kembali menghangatkan senario politik negara. Berita Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim yang telah menyertai PKR pada hujung minggu lepas telah mengemparkan kepimpinan Umno. Dato' Nasaruddin juga turut mengisytihar keluar dari Umno.

Gelombang peralihan kembali bergelora setelah reda beberapa bulan lalu. Kepimpinan BN Negeri Sembilan terutamanya Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Hasan telah mengadakan satu mesyuarat khas dengan semua Adun BN dan telah memberi amaran supaya tidak melompat keluar dari BN.

Memang benar khabar Adun BN di Negeri Sembilan akan melompat keluar dari BN telah bertiup kencang. Seiring dengan kemasukan Adun Bota ke dalam PKR, aura perubahan itu kembali menghangat. Apakah mungkin kerajaan negeri di negeri Adat Perpatih ini akan berubah tampuk pemerintahan dalam masa terdekat ini? Persoalan ini sedang diperkatakan dan dibincangkan oleh semua penganalisis politik, peramal-peramal politik dan ahli-ahli politik juga dengan pelbagai perspektif andaian yang berkemungkinan.

Siapakah mereka itu? Hanya masa dan saatnya akan mendatang menzahirkannya. Namun, kepastian itu ada bukan mustahil. Jika tidak, takkan Dato' Seri Mohammad Hasan turut melatah terbias dengan isu ini.

Harapan baru untuk semua dengan "muncul"nya kerajaan baru di Negeri Sembilan...

PELANCARAN GERAKAN MANSUHKAN PPSMI (GMP)

Bersempena dengan program khas Pelancaran Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang akan berlangsung pada hari Sabtu 31 Januari 2009, pada jam 3.00 petang bertempat di Dataran Kompleks Membeli-Belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semua rakyat digesa hadir menyokong para tokoh bahasa dan pemimpin Pakatan Rakyat agar menyampaikan bantahan kepada kerajaan BN.

Perhimpunan ini bakal menyaksikan penglibatan tokoh-tokoh berwibawa yang mewakili institusi bahasa, akademik, profesional serta parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang dijangka hadir adalah Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Shahrin Md Zain, Prof. Abdullah Hassan, Ainon Mohd., Hasni Abas, Suhaizan Kayat, parti PAS dengan Dr. Nasharuddin Md. Isa, Mohd. Sabu bersama Pemuda PAS diketuai Salehuddin Ayub, manakala PKR dengan peneraju utama Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua AMK Pusat) bersama jentera padu AMK khususnya dari Wilayah Persekutuan dan Selangor dan disokong oleh ahli MPT PKR Tian Chua dan lain-lain.

Penggerak utama bagi Parti KeADILan Rakyat, Angkatan Muda KeADILan (AMK) menyeru agar semua lapisan rakyat Malaysia agar turut sama berhimpun sebagai simbol teguh menyatakan bantahan terhadap dasar kerajaan yang ternyata gagal ini, dan juga protes pada semua permasalahan isu PPSMI yang telah lama berlarutan dan telah mengakibatkan pelbagai masalah melanda prestasi pembelajaran para pelajar sekolah dan lanskap akademik negara.

Sidang media besar-besaran dan penghebahan pelbagai inisiatif program dan gerakkerja lanjutan bersama para pendesak GMP dijangka akan dilakukan pada hari tersebut. Semua ini adalah dalam tuntutan ke arah Himpunan 100 ribu Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dijangka diadakan 7 Mac depan.


ROZAN AZEN MAT RASIP
KETUA AMK BATU
NAIB KETUA AMK W/P
012 657 7878

Perbicaraan lafaz cerai anak Rais 3 Februari

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam menetapkan 3 dan 4 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan pengesahan lafaz cerai Dino Rais, 30, anak Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap isterinya, Riza Ainurin Ramlan, 24.

Hakim Syarie Mohd Yunos Mohamad Zin menetapkan tarikh itu bagi mendengar keterangan daripada saksi kedua-kedua pihak.

Sebelum itu, Dino yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia telah melafazkan cerai terhadap Riza Ainurin sebanyak dua kali iaitu pada 12 November dan 25 November 2008, di rumah bapa saudara Riza Ainurin.

Katanya kali pertama ia diungkapkan secara lisan manakala kali kedua melalui SMS.

Riza Ainurin, yang diwakili peguam syarie Roslizam Rahim, berkata dia tidak mendengar lafaz cerai kali pertama suaminya itu tetapi mengakui menerima SMS cerai pada 25 November.

Dino, seorang perunding teknologi maklumat berkahwin dengan Riza Ainurin pada 10 November 2007 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki. - BERNAMA

Yang di-Pertuan masuk pejabat kali pertama di kediaman SUK

Dipetik daripada Sinar Harian.com.my
SEREMBAN- Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mula memasuki pejabat sementara di kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri, pagi semalam buat pertama kali selepas dimahsyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember lalu.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Exco-exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan bagi menyambut ketibaan baginda.

Baginda turut meluangkan masa berbincang selama sejam bersama Menteri Besar, sebelum diperkenalkan kepada Exco Kerajaan Negeri dan ketua jabatan yang hadir.

Difahamkan, kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri dijadikan pejabat sementara baginda berikutan kerja-kerja baik pulih yang dilakukan di Istana Hinggap yang menempatkan pejabat asal untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, majlis doa selamat, bacaan Yasin dan tahlil berlangsung di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah, malam kelmarin sempena Hari Keputeraan sempena Hari Keputeraan ke-61 baginda.

Baginda tiba ke majlis itu dengan diiringi Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada jam 7.15 malam disambut oleh Menteri Besar sendiri.

Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum bacaan Yasin diikuti doa selamat dan solat Isyak.

Turut kelihatan Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau; Datuk Muhamad Sharip Othman; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

DEMO Rakyat NS Sokong Palestin 9 Jan Senawang

DEMONSTRASI Rakyat Negeri Sembilan Menyokong Perjuangan Rakyat Palestin
JUMAAT 9 Januari 2009
Di Perkarangan Masjid Bandar Baru Senawang , N.Sembilan
Selepas Solat Jumaat
Semua Dijemput Hadir

Anjuran : Koordinator Sukarelawan Selamatkan Al Quds dan Gabungan NGO
Hubungi 019-2998345(azizi keadilan Rembau 0123696474)

Perarakan 'keranda' disokong

Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu -- yang berhasrat menganjurkan perhimpunan besar ala-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bagi membantah pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - akan menyokong 'perarakan keranda' bagi tujuan yang sama bulan depan.

"Kita sokong. Tetapi program (perhimpunan) kita pun kita teruskan," kata pengarah jawatankuasa pelaksana program itu, Hasni Abas.

Selain tindakan mahkamah, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang menaungi 24 persatuan penulis di seluruh negara memutuskan semalam untuk menganjurkan perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI, tidak diendahkan.

Setiausaha Dua Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail dilaporkan berkata, kerajaan diberikan peluang terakhir untuk tampil berunding dengan Gapena dan membuat keputusannya.

Menjelaskan lanjut bentuk perhimpunan itu, Dr Hashim berkata, ahli gabungan Gapena, NGO dan penggiat bahasa dijadual berhimpun di ibu pejabat gabungan itu dekat Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum berarak ke Istana Negara, bangunan Parlimen atau balai polis.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni bagaimanapun berkata, sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang dipimpinnya akan memberikan sokongan penuh kepada Gapena jika gabungan itu benar-benar mengadakan perarakan keranda itu.

Tambah beliau, jika perhimpunan besar itu lebih kepada "bergurindam dan bersyair" bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI, sekretariat itu tidak akan terlibat.

Derma kilat


"Agenda politik mesti ditangani dengan (tindakan) politik juga. Tindakan kerajaan itu (melaksanakan PPSMI) jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan," tambah Hasni.

Ditanya pendirian sekretariat itu terhadap Gapena yang mahu menyeret kerajaan ke mahkamah berhubung perlaksanaan dasar itu yang didakwa mencabuli Fasal 152 Perlembagaan Malaysia, Hasni berkata:

“Kalau melalui undang-undang ini, kita tahu, mungkin tergantung (keputusannya) dan akan jadi lambat.”

Gapena kelmarin mengumpulkan RM7,000 melalui derma kilat sewaktu majlis perbincangan antara gabungan itu dan NGO Melayu, melibatkan kira-kira 20 tokoh bahasa dan sastera bagi menampung kosmenyaman kerajaan Malaysia.

Gabungan itu kali pertama dilaporkan mengancam menyaman kerajaan bulan lalu sekiranya dasar PPSMI yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu itu, masih diteruskan.

Bagaimanapun, sehingga 31 Disember lalu - tarikh akhir yang diberikan Gapena - kerajaan tidak membuat sebarang keputusannya berhubung tuntutan mereka.

Dr Mahathir: Apa dan Mengapa Dinar Emas?


1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.

2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai "Gold Standard". Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan "Bank Notes" sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antarabangsa? Sudah tentu tidak.

17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.

/Dr Mahathir Mohamad/CHEDET.COM

Calon Akim tarik diri, gesa mengundi pilih PAS

KT: Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abdul Rahman Mohamad mengumumkan menarik diri dari bertanding dalam pilihanraya kecil P.036 Kuala Terengganu pada pukul 9.30 pagi tadi.

Harun mengumumkan penarikan diri beliau sepuluh minit selepas memasuki Stadium Negeri.

Beliau turut menyeru kepada pengundi-pengundi di Kuala Terengganu agar memberikan sokongan padu kepada calon PAS, Abdul Wahid Endut.

Harun menjelas beliau menarik diri kerana dasar perjuangan Akim dan PAS adalah sama.

'Begitu jijiknya Umno di mata Rais'

dipetik daripada Harakah Daily.net
Safar Jumaat

Tue | Jan 06, 09 | 10:18:10 am MYT

SEBELUM ini ada dua tiga artikel sudah ditulis, menyentuh secara langsung politiking Menteri Luar, Dato' Seri Dr Rais Yatim. Tebaru, dalam satu wawancara dalam sebuah media cetak arus perdana, Rais yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan masih bercakap soal politik wang.

"Sebab itu, saya masuk arena (bertanding jawatan Naib Presiden), untuk cuba menyerlahkan mesej politik tanpa wang, politik tanpa membeli undi. Ini perlu diterima Umno. Jika saya tidak menang dalam pertandingan kali ini, yakinlah saya bahawa orang yang tidak main politik wang, tidak ada peranan dalam Umno pada masa depan. Itulah rumusan saya. Saya agak lama dalam parti yang melihat perkembangan Umno ini," kata Rais dalam wawancara berkenaan.

Kalaulah wawancara ini dibaca oleh para perwakilan, seramai 2,600 orang yang bakal mengundi calon-calon yang bertanding, mereka tentunya akan 'menghukum' Rais dengan hukuman yang amat berat. Bayangkan, dia sudah siang-siang memberitahu, kalau dia kalah, bukan dia yang salah, tetapi perwakilan tidak kenal 'yang mana kaca dan yang mana permata'.

"Pilihlah aku"

Rais ingin memberitahu semua orang, khususnya perwakilan, bahawa dia permata "... pilihlah aku kerana hanya aku yang paling bersih di antara ramai-ramai calon." Malangnya, tiada siapa yang nampak Rais ini ersih, kecuali mereka ini melihat dia adalah bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang pernah berusaha mahu mengalahkan BN dan Umno, khususnya di Negeri Sembilan.

Empat tahun lalu, 2004, Rais yang kepingin menjadi Naib Presiden, membatalkan hasratnya bertanding dengan cerita yang sama, "saya bersih, saya tidak main duit". Dengan lain perkataan, Rais mahu memberitahu, semua yang menang kerana politik wang dan yang bersih hanya dia seorang sahaja - tanpa rekod kotor.

Walaupun Rais mengaku dia orang lama dalam Umno, rajin memerhati perjalanan Umno, tetapi hakikatnya, dia bukanlah seseorang yang begitu diingini oleh para perwakilan. Ini kerana di sebalik dakwaan Rais dia yang bersih, sebenarnya orang luar nampak dia bersih atau tidak. Keterlaluan kalau mengatakan dia kotor tetapi, mereka yang enggan menyokongnya mempunyai seribu alasan, bukan kerana tidak menjamah duitnya sahaja menjadikan mereka enggan menyokongnya.

Kalau Rais kata kalau dia kalah bererti orang tidak mahu menerimanya kerana tidak ada politik wang, apakah cakap-cakapnya ini ada kaitan juga dengan cakap-cakap Tengku Razaleigh Hamzah, yang tidak mendapat cukup pencalonan untuk menawarkan diri bertanding kerusi Presiden Umno, kerana tidak mahu menyogok perwakilan?

Jika empat tahun dulu, Rais memboikot pemilihan Umno, kenapa hari ini Rais kepingin untuk masuk arena semula? Adakah kerana Rais merasakan dia bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, seperti apa yang pernah disebutkan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad? Baguslah kalau Rais merasakan faktor umurnya tidak membolehkan dia pergi lebih jauh tetapi, menyindir dan memperli orang lain terlibat dengan politik wang, adalah dakwaan yang tidak sepatutnya.

Cerita perbezaan lima undi menyebabkan dia kalah kerusi Naib Presiden dalam tahun 1981 di belakang Allahyarham Dato' Harun Idris, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad adalah cerita lapuk yang tidak perlu diulang-ulang. Rais memang tidak layak menang ketika itu jika dibandingkan dengan Tok Harun, Ku Din dan Ayah Wang. Lima undi ketika itu, cukup besar ertinya kerana jika Rais menang, barangkali dia tidak merasa kerusi Timbalan Presiden S46.

Lebih awal masuk Umno

Tetapi bila dia berada dalam S46, kedudukannya sebagai Timbalan Presiden di bawah Ku Li meninggalkan Tok Harun yang dilihat waktu itu sepatutnya menjadi Timbalan Presiden S46, di bawah Ku Li. Rais nampak atau tidak ketika itu? Malahan, antara Rais dengan Tok Harun, Rais lebih awal masuk Umno kembali sedangkan Tok Harun sampai mati tidak kembali ke pangkuan Umno.

Dari segi prinsipnya, orang Umno amat mengkagumi Tok Harun. Tetapi apabila Rais bertanding menentang calon-calon BN di Negeri Sembilan, sama ada peringkat DUN dan Parlimen, bukan sedikit yang terluka. Mereka semuanya mungkin susah memaafkan Rais tetapi 'luka yang sembuh, parut tetap ada'.

Inilah bezanya Rais dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Tan Sri Aziz. Nazri enggan bertanding dan tidak pun mahu bercakap soal politik wang ataupun kelemahan orang lain yang menyebabkan beliau tidak menang. Malah, empat tahun lalu, Nazri tidak mahu bertanding, pemilihan akan datang pun Nazri masih berpendirian yang sama, enggan bertanding.

Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob bertanding dalam tahun 2004 bagi kerusi Naib Presiden tetapi tewas. Adnan adalah salah seorang calon yang cukup kerap bercakap soal politik wang dalam Umno hingga menyebabkan beliau enggan bertanding kali ini. Beliau tidak sanggup terlibat dengan permainan ini tetapi tidak pula �menghina� sesiapa, jika beliau kalah.

Kalau Rais menoleh sejenak ke belakang, dia tentunya sedar, jika dia bayar sekalipun untuk menang, dia tidak mungkin boleh menang kerana dalam Umno, aura pemimpin itu tidak ada pada Rais. Apa auranya, tiada siapa yang tahu, kecuali perwakilan yang mahu mengundi - walaupun mungkin orang mengatakan aura 'duit' menyebabkan seseorang itu menang.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding kerusi Presiden Umno bukan kerana duit. Beliau dilihat memang mampu untuk menjadi pengganti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Lagipun, Abdullah menyokong Najib sebagai penggantinya.

Walaupun Ku Li didakwa tidak mendapat pencalonan kerana tidak sanggup main politik wang, tetapi dipercayai jika K Li beri wang sekali pun, Najib akan tetap menjadi pilihan bahagian-bahagian.

Wang bukan segala-galanya walaupun Umno dilihat tercemar dengan kisah politik wang. Tidak semua orang berduit menang dalam pemilihan walaupun ramai juga yang sempat menghimpun harta ketika memegang pelbagai jawatan dalam Umno dan kerajaan.

Suatu ketika dahulu, bekas Ketua Umno Bahagian Kok Lanas, Tan Sri Abdullah Ahmad pernah menyindir seorang bekas Menteri berjaya mengumpul harga berbukit walaupun tempoh memegang jawatan tidak begitu lama.

Ramai juga yang tahu, walaupun Rais tidak menghulur habuan untuk menagih sokongan, tetapi bukanlah bererti Rais tergolong dalam golongan rakyat termiskin kerana dia masih memiliki kereta Jaguar yang tidak ramai Menteri dan bekas Menteri mampu memilikinya.

Umno diserang angin ahmar

Betul, Rais memang mampu membantu Umno untuk kembali kuat tetapi bukanlah jika Rais tiada dalam hirerki kepimpinan Umno, Umno terus diserang angin ahmar dan lumpuh!

Baguslah jika Rais mengatakan bahawa jika dia kalah, kerana Umno tidak mahukan orang yang tidak bermain politik wang. Ini bererti, rumusan Rais, semua yang bakal menang, kecuali dia, menang kerana poltik wang.

Begitu jijik Umno di mata Rais walaupun dia mengakui dia dapat segala-galanya ketika dalam Umno dan ketika menjadi orang nombor dua dalam S46, bukan sahaja tidak dapat menjadi Menteri Luar, nak menang kerusi DUN dan Parlimen pun tidak pernah dirasainya.

Sepatutnya Rais menawarkan diri bertanding kerusi Presiden Umno dengan kenyataan serupa "... jika saya tidak menang, bermakna Umno menolak orang yang bersih dari politik wang dan mereka yang menang, menang kerana politik wang.

Itu lebih hebat kerana jika Rais menang kerusi Presiden Umno, tentulah dia mampu membawa Umno kembali pulih dari politik wang, tetapi dengan satu syarat, dia tidak dikalahkah di Jelebu kerana bekas Setiausaha Politiknya, Dato' Yunus Rahmat yang banyak berkorban untuk survival politiknya, kini menjadi musuhnya di kawasan sendiri. _