Kubu Umno Jelebu Bakal Runtuh???

Senario politik tanah air ketika ini sedang tertumpu di negeri Perak dan Selangor termasuk di Kedah. Krisis politik di Perak kian menarik dan lebih sensasi dengan kemunculan episod-episod baru yang dihiasi plot-plot mengejutkan.

Begitu juga di Selangor episod serangan-serangan politik hingga menyentuh kehidupan peribadi menakluki ruang utama media kawalan BN. Khir Toyo dengan megah angkuh menyerang MB Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan isu sumbangan lembu korban Aidiladha dan kereta Nexus. Namun, ramai sudah mengetahui serangan bekas MB Selangor yang gila bayang itu hanya hendak menunjukkan kredibiliti kepada ahli-ahli Umno yang beliau adalah calon paling sesuai memegang tampuk Ketua Pemuda Umno.

Saya fikir cara politik Khir Toyo ini masih terperap dan ketinggalan. Cara beliau berhujah dan menterjemahkan isu-isu politik seperti 20 tahun dulu. Orang kampung yang hari-hari tengok berita atau menerima input daripada TV3, RTM, Utusan Melayu dan Berita Harian sahaja yang mungkin terpengaruh dengan dakyah merapu Khir Toyo.

Usahlah kita bercerita akan manusia putar alam ini. Dalam sibuk BN menyerang negeri-negeri Pakatan Rakyat, nampaknya pentadbir-pentadbir Umno telah lupa pada suasana politik di Negeri Sembilan. Walaupun Jelebu ini dianggap lubuk kekuatan BN khususnya Umno, jangan lupa kebangkitan masyarakat di sini juga telah membuak. Mereka juga sudah sedar akan kepincangan Umno.

Mungkin ramai yang menjangkakan agak mustahil orang kampung di Jelebu untuk menyokong pembangkang. Jangan juga kita lupa benih-benih pergerakan pembangkang sebenarnya telah dimulakan oleh pentadbir Umno. Nampaknya tidak lama lagi cawangan-cawangan Parti Keadilan Rakyat akan wujud di sini.

Tak mustahil juga mungkin akan ada ADUN Umno di sini yang berminat menyertai kebangkitan masyarakat Jelebu. Segala boleh berlaku dalam politik.

Kono kito sodar dan jangan pulak dibuek lupo-lupo...walaupun oghang Jolobu ni jauh dudok di ulu, jiwo totap nak juo berubah.

Speaker hanya boleh ditukar melalui dua cara, letak jawatan atau pembubaran DUN

Zambry Kadir mengatakan speaker baru akan dilantik mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Jika itu yang akan berlaku, maka tidak mustahillah bahawa Zambry akan berjumpa dengan Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN.

Ini adalah kerana, jika mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, speaker tidak boleh ditukar melalui undi tak percaya dan tidak boleh dipecat oleh MB.

Jadi, hanya ada satu cara bagi Zambry untuk menukar speaker baru ialah melalui “Pembubaran DUN Negeri Perak”.

Bersedia untuk berpilihanraya”? / aminiskandar.wordpress.com


Krisis Perak: Medan Najib Uji Kekuatan?

Krisis politik yang melanda negeri Perak Darul Ridzuan dengan berlaku peralihan kuasa luar biasa dan tidak demokratik oleh BN telah melahirkan pelbagai persepsi politik. Ada yang memberi persepsi sinis dengan mengandaikan pandangan rakyat telah berubah 50-50 kepada BN dan Pakatan Rakyat yang bermaksudkan BN kononnya telah mendapat ruangnya dikalangan rakyat.

Apakah persepsi itu lahir atas alasan rakyat umum dihidangkan dengan rangkaian berita yang dimanipulasi tentang keburukan kerajaan Pakatan Rakyat Perak setiap hari? Sedar atau tidak, rakyat seluruh generasi telah mual dan bosan dengan manipulasi maklumat sebenar oleh media-media kawalan BN. Generasi muda yang berumur bawah 23 tahun pun sudah pandai menilai krisis politik yang melanda Perak.

Kelihatan manipulator BN masih tidak insaf dan konsisten mendakyahkan minda rakyat dengan maklumat-maklumat palsu. BN telah menggunakan KDN dengan melakukan rampasan lebih 20 ribu naskah Harakah dan Suara Keadilan di sekitar Selangor dan Perak kerana kebimbangan mereka penyebaran fakta sebenar berkenaan krisis politik yang melanda Perak.

Kerajaan "haram" BN Perak dengan pantasnya diuji oleh kuasa Ilahi apabila Pilhanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang akan diadakan pada 7 April 2009 ini. Sejauh mana kekuatan Najib memimpin rampasan kuasa dan penubuhan kerajaan "haram" di Perak akan terbukti melalui pilihanraya itu? Apakah memang benar rakyat Perak menyokong beliau atau secara mutlak menafikannya? Apakah pihak istana akan tersedar daripada mimpi yang rakyat adalah yang sebenarnya berkuasa?

Kita menyakini bahawa seluruh rakyat Perak khususnya di Parlimen Bukit Gantang akan memperlihatkan kuasa rakyat dan sekali lagi membuktikan cara politik BN ditolak sehabis-habisnya. Mungkinkah pilihanraya kecil ini akan mencatat sejarah yang unik? Mungkin juga BN bakal kehilangan deposit? atau majoriti kemenangan calon Pakatan Rakyat bakal melebihi lima ribu undi?

Bersama-samalah kita menjadi rakyat yang bijak dan sedar dengan mendoakan kejayaan pihak yang benar serta terbinanya keadilan untuk seluruh kehidupan rakyat.

Kajian: 97 peratus rakyat Perak mahu DUN dibubarkan

Nyza Ayob
Thu | Feb 12, 09 | 9:36:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi.

Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.

Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

"Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.

"Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.

Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.

"Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.

" Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya.

Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu.

PKR Komited Pertahankan Rukunegara

RUKUNEGARA
-
1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN
-
Prinsip Rukunegara ini adalah asas pegangan seluruh rakyat yang mengaku diri mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak ada mana-mana warganegara yang harus mempertikai atau ingkar dengan prinsip ini. Melanggar prinsip ini bermakna menyanggah kehidupan kenegaraan yang merupakan asas ke arah keharmonian keamanan dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.
-
Kekecohan yang berlaku akhir-akhir ini adalah fenomena daripada penyangghan kepada prinsip Rukunegara tersebut. Seluruh tumpuan rakyat terarah ke negeri Perak Darul Ridzuan akibat kekecohan yang berlaku selepas penubuhan kerajaan "haram" yang lahir daripada proses 'kudeta' atau rampasan kuasa yang bertentangan dengan prinsip ketiga Rukunegara.Untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya.
-
Para penggubal pelaksana dan mereka yang terlibat dengan perundangan adalah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membelai Keluhuran Perlembagaan ini. Hanya dengan terpeliharanya Keluhuran Perlembagaan barulah prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dapat dipelihara.Kesetiaan kepada Negara yang Raja menjadi tonggaknya adalah usaha mempertahankan nilai-nilai yang termaktub di dalam sistem kenegaraan.
-
Antara lain dalam sistem itu adalah proses demokrasi yang telah diterima pakai oleh rakyat keseluruhan. Mereka yang menentang demokrasi atau lebih dashyat lagi cuba menubuhkan kerajaan haram adalah mereka yang TIDAK SETIA kepada negara dan MERENDAH-RENDAHKAN martabat Raja atau isntitusi kesultanan. Ia adalah umpama setitik nila yang merosakkan susu sebelanga. Titik hitam ini memberi imej yang cukup buruk terhadap negara pada pandangan dunia luar.
-
Lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh mereka yang menggelarkan diri mereka BAKAL PERDANA MENTERI Malaysia. Contoh apakah yang hendak mereka tunjukkan kepada rakyat negara ini apabila mereka mengajar rakyat untuk memcemar kesetiaan kepada raja dan negara? Teladan apakah yang hendak mereka terjemahkan apabila ia mengajar rakyat menggungkapkan "sumpah si Jebat"- Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim raja disanggah! Mamak Bendahara telah salah menasihat raja sehingga negeri ditimpa petaka. Bukankah keroh di hilir kerana keroh di hulu? Rakyat tidak akan bertindak kerana prinsip kesopanan dan kesusilaan masih terpahat di jiwa mereka. Tetapi kisah Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun telah memaktubkan piagam rakyat dan raja.
-
Pencacai-pencacai Umno jangan celupar mulut mengatakan penyokong Pakatan Rakyat menyembah bicara derhaka kerana yang mengajar rakyat menderhaka kepada raja adalah bekas Presiden Umno! Lantaran itu, tidak ada seorang pun yang bersuara tatkala Almarhum Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yamtuan disaman oleh sebuah bank sedikit masa dulu tetapi kini sibuk membakar semangat perkauman dengan mengapi-apikan kenyataan Karpal Singh ingin menyaman Kebawah Duli Sultan Perak.
-
Keluhuran Perlembagaan adalah hasil daripada Kedaulatan Undang-undang dan Kedaulatan Raja-raja adalah manifestasi daripada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang tersebut. Itulah sebabnya orang tua-tua menasihatkan supaya kebencian orang jangan dicari, kesayangan orang jangan diambil dan jangan menjolok sarang tebuan.
-
Pakatan Rakyat telah menyatakan bahawa Suara Rakyat Suara Keramat. Oleh itu, janganlah dicari-cari kebencian rakyat kerana rakyat telah muak dengan permainan kapitan-kapitan Umno dan Barisan Nasional. Belum pun reda pemilihan mereka di bahagian, di mana mereka berebut kerusi untuk mempertahankan kuasa dan dengan kuasa ini mereka boleh membolot kekayaan sedangkan rakyat tetap hidup menderita. Rakyat tahu mereka menari di atas kesengsaraan rakyat. Rakyat faham mereka menubuhkan kerajaan haram untuk menambah wang haram bagi kepentingan mereka. Mereka mengheret raja-raja dalam pelbagai cara supaya mereka mencapai tujuan jahat mereka.
-
Mereka menjadikan Michevelli sebagai guru. Kini sekali lagi, Umno menjatuhkan martabat raja dan mengajar rakyat mengungkap sumpah si Jebat. Dalam kelembutan rakyat yang penuh Kesusilaan dan Kesopanan, Hang Najib "menyelam teras terendam".Justeru itu, orang-orang Umno dan BN mestilah belajar memahami Rukunegara sebelum berbicara tentang sembah derhaka.Merekalah yang membunuh imuniti Raja-raja. Merekalah yang menggunting dalam lipatan. Merekalah api di dalam sekam. Oleh itu, jika mereka hendak berpencak, berpencaklah di gelanggang terbuka. Bubarkan dewan dan biarkan rakyat membuat pilhan mereka. Jangan berselindung di sebalik bayang Raja-raja kerana rakyat lebih mengenal yang mana manikam yang mana permata!
-
BIRO PENERANGAN PKR NEGERI SEMBILAN

ANALISIS: KEJATUHAN PAKATAN RAKYAT KESAN POLITIK MASA DEPAN UMNO?

Dengan terlantiknya Menteri Besar baru di Perak semalam, UMNO kini mendapat semula kuasanya yang hilang selama 11 bulan apabila rakyat menafikan kuasa itu pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008. Soal kuasa itu sah atau sebaliknya, hakikatnya UMNO yang mengemudi kerajaan Perak selepas ini. Kejayaan UMNO kembali semula berkuasa menerusi apa yang disifatkan satu 'Rampas Kuasa' siang hari itu benar-benar mengembira & melegakan UMNO khasnya bakal PM, Najib. Dengan apa yang berlaku bolehlah UMNO menuntut & mengatakan bahawa parti itu mendapat sokongan Melayu & memulihkan semula kedudukan parti berkenaan. UMNO boleh mendabit dada kononnya parti itu sebenarnya yang diingini oleh orang Melayu Perak. UMNO juga boleh berangan-angan mengatakan parti merekalah dipercayai rakyat seluruhnya. Atau UMNO juga boleh mengakui partinya turut sama direstui Istana apabila Sultan Azlan Shah bersetuju melantik MB & tidak bersetuju membubarkan DUN Perak seperti mana diminta oleh Pakatan Rakyat.
-
Apapun UMNO tidak perlu peduli. Restu dari Istana adalah penting dalam konteks politik negara ini. Samada tindakan Istana itu betul atau sebaliknya itu soal lain. UMNO menampakkan kuasa yang mereka perolehi itu betul dengan mencari tukang-tukang untuk mencanangkan tindakan itu betul & tepat. Banyak tukang-tukang demikian yang boleh diupah atau diberikan imbunan pangkat & kedudukan. Tukang-tukang itu boleh menjustifikasikan atas berbagai nama; budibicara, kebijaksanaan atau pandangan jauh Sultan.
-
Adat & kepercayaan kolot orang Melayu meletakkan apa juga yang dilakukan Sultan itu betul walaupun kesalahan dilakukan itu kadang-kadang terang benderang, atau kadang-kadang pada satu masa dulu kita sendari menetangnya & menyokong balik atau menyetujui bila ia memberi keuntungan kepada kita. Buku-buku sejarah mengenai kekejaman Sultan atau Raja-Raja banyak tersimpan di arkib. Kita boleh membacanya untuk mengetahui sifat-sifat ini yang dipakai dari kalangan Raja-Raja Melayu, Inggeris, atau Raja-Raja apa jenis dan bangsa saja dari seluruh dunia.
-
Kononnya, dari semangat Melayu, sesiapa pun gembira dengan terbentuknya kerajaan Perak yang dianggotai oleh Melayu total di Perak itu. Hanya bangsa yang tidak suka kepada bangsanya sendiri saja kalau tidak suka bangsanya menjadi kerajaan. Hanya Melayu yang hilang rupa diri & akal budi saja tidak menyokong Melayu. Bagaimana pun bila ada yang mempertikaikan perlantikan atau pertukaran kerajaan itu ialah dari segi teknikalnya yang dikira sangat menjijikkan & tidak adil?
-
Dengan terlantiknya Zambry Abdul Kadir itu orang Melayu Perak kini tidak perlu bimbang lagi mengenai keselamatan mereka. Hak-hak Melayu, kepentingan Islam pasti akan terbela dengan utuhnya. Soal tanah rizeb Melayu pasti akan terjaga dengan eloknya. Projek atau kontrak kerajaan tidak akan jatuh ke tangan Cina lagi. Begitu juga dengan kawasan balak tidak lagi jatuh ke tangan Cina. Semuanya akan dapat kepada Melayu kerana kerajaan MB yang ada kini bukan lagi menjadi boneka kepada mana-mana Cina. Mungkin dalam masa sesegeranya juga Zambry akan memansuhkan semula polisi Pakatan Rakyat yang memberi gerak tanah milik kekal kepada penduduk kampung baru seperti mana pantasnya tindakan UMNO sebelum ini mempertikaikan pemberian itu.
-
Dari satu segi itulah yang dapat dilihat & dirasai terhadap perubahan drastik yang berlaku di Perak. Memang UMNO boleh bergembira & orang Melayu boleh membuat kenduri kesyukuran dengan menyembelih unta atau gajah.
-
Tetapi dari sudut lain kemelut politik yang membawa perubahan kepada kerajaan itu meninggalkan kesan yang menakutkan untuk masa depan medan politik negara ini & inilah yang menjadi masalah baru kepada UMNO & BN.
-
Kejadian di Perak itu membuka kepada dimensi hubungan atau perpaduan politik negara ini tidak baik. Mungkin kerana terlalu gembira orang Melayu UMNO tidak sedar bahawa di sebalik kemeriah & sorak sorai Melayu UMNO itu ada pihak lain yang kecewa. Hakikatnya kejayaan UMNO itu dirayakan oleh Melayu UMNO saja tetapi tidak oleh Melayu lain & kaum lain. Apakah situasi ini disedari oleh UMNO?
-
Realiti ini jelas sehingga semalam saya belum terbaca ulasan & juga mendengar komen daripada pemimpin Cina dalam Gerakan atau MCA berhubung kejayaan UMNO itu. Apakah mereka tidak ditanya atau mereka enggan mengulas atas kepentingan politik? Yang ada memberi ulasan menggambarkan mereka suka dengan apa yang berlaku itu hanya orang-orang Cina marhaen sahaja.
Apakah sikap senyap & membisu mereka itu menandakan mereka marah? Mereka tidak setuju kerajaan Perak yang didominasi kaum Cina (DAP) dijatuhkan? Ini perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh UMNO di sebalik sorak sorai itu. Jelas apa yang berlaku dan dilakukan itu menyakiti orang Cina. Orang Cina beranggapan seolah mereka tidak perlu diberikan peluang menjadi kerajaan menurut perlembagaan yang ada & perlu ditumbangkan. Dalam hal ini mereka tidak mengira siapa Cina yang menguasi kerajaan Perak itu, MCA, Gerakan, DAP atau PKR? Tetapi orang Cina pasti merasa bangga kerana rakan mereka dalam DAP dapat menguasai sebuah kerajaan negeri.
-
Apa yang dibayangkan oleh Mahathir seperti yang berlaku di Perak itu memberi kesulitan atau keburukan kepada BN khususnya UMNO pada Pilihanraya Umum ke 13 adalah tepat. Dapat diselami kata-kata Mahathir itu bahawa dengan apa yang berlaku orang Cina akan membenci UMNO atau sokongan orang Cina kepada UMNO/BN makin merosot. Mahathir boleh berkata begitu kerana beliau faham & ada pengalaman dengan sikap politik orang Cina. Mahathir pernah kalah tahun 1969 di Kota Star disebabkan orang Cina tidak mengundinya hanya disebabkan beliau berkata beliau tidak perlu undi Cina. Sejarah dialami Mahathir itu seharusnya dijadikan iktibar kepada Melayu UMNO.
-
Disebabkan keintiman masyarakat Cina itu begitu kental kesan atau rasa sakit hati orang Cina itu bukan saja di Perak tetapi di seluruh Malaysia. Ia tidak boleh bendung daripada menjalar di negeri-negeri lain juga. Sudah pasti Cina di Pulau Pinang akan melepas marah & dendam dengan apa yang berlaku di Perak itu dengan memberi sokongan pada kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Begitu juga halnya di Negeri Sembilan..
-
Pada saya ini sangat bahaya bagi UMNO. Politik rakus & tidak menghormati hak orang lain & mencerminkan ketamakan kuasa memberi kesan buruk & kegembiraan sekejap saja. Dari segi politik jangka panjang apa yang dilakukan UMNO itu tidak bijak. Kesan daripada tindakan ini ialah kepada Najib Razak. Kerakusan Najib itu akan dilihat sebagai itulah stail & pendekatan Najib apabila beliau menjadi PM kelak. Dalam hal ini Najib untung dalam mengambil hati orang Melayu untuk mendokong beliau sebagai PM tetapi pada masa sama beliau telah mengguriskan hati orang Cina dengan apa yang berlaku itu.
-
Memerhati perkembangan yang berlaku hari ini saya tidak tergamak untuk mengatakan kemungkinan dengan apa yang berlaku ini menyebabkan MCA & Gerakan atau parti-parti Cina di Sabah dan Sarawak & seluruh orang Cina sedang membuat 'homework' baru dalam hubungan politik mereka dengan UMNO. Tragedi 'Rampasan Kuasa' di Perak yang berlindung di Istana itu boleh menyebabkan kaum Cina menyemak balik persefahaman politik mereka dengan UMNO.
-
Di sini terlalu awal untuk mengatakan mereka akan membuat reform politik besar-besaran dengan memberi sokongan kepada PKR & PAS bagi menyertai rakan mereka DAP dalam Pakatan Rakyat itu tetapi kemungkinan itu tidak mustahil. Jadi UMNO perlu insaf & sedar hal ini kalau tidak kejayaan di Perak itu bukan memberi satu kegembiraan tetapi akan menganugerahkan kesedihan berpanjangan kepada UMNO/BN khususnya dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Kenapa Zionisme muncul dalam fikrah Melayu?

Hishamuddin Rais | Jan 22, 09 6:20pm
Sewaktu saya menulis artikel ini, Kuala Terengganu telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ketika saya menulis, warga Palestin di Gaza masih lagi digodam. Ketika saya menulis, masih ramai lagi warganegara kita ini kurang faham tentang apakah itu Zionisme.

Zionisme ini satu pandangan politik. Zionisme bukan orang Yahudi tetapi pengasas Zionisme memang seorang Yahudi. Hari ini Zionisme bukan lagi milik eksklusif orang Yahudi. Zionisme yang wujud dan sedang menggodam rakyat Palestin ini majoritinya didukung hebat oleh individu dan kumpulan yang bukan Yahudi.

Agama Yahudi ialah Judaism. Kitab suci agama ini adalah Torah. Rumah sembahyang penganut agama ini dipanggil synagogue. Kepala agama mereka dipanggil rabbai. Maklumat ini mungkin semua telah diketahui umum.

Wajib juga diketahui bahawa ramai orang Yahudi sendiri yang menentang Zionisme. Di Isreal sendiri ada kumpulan penganut Judaisme yang menentang keras fahaman Zionisme. Mereka menolak masuknya fahaman Zionisme ini ke Palestin.

Untuk kumpulan ini, mereka percaya bahawa fahaman atau ideologi Zionisme telah membawa porak-peranda dan kesengsaraan terhadap orang-orang Yahudi di seluruh dunia dan juga kesengsaraan yang tidak terhingga kepada warga Palestin.

Kumpulan ini bernama Neturei Karta – mereka ini pada 2006 telah datang ke Iran atas jemputan Ahmadinejad, presiden Iran. Neturei Karta bersama rakyat dunia telah mengutuk negara yang dipanggil Israel.

Neturei Karta adalah kumpulan Yahudi yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Mereka juga menentang Zionisme bermatian-matian.

Perkembangan ini menjadi satu bukti bahawa Zionisme bukan ajaran Judaisme. Zionisme adalah falsafah yang menggunakan agama sebagai jubah untuk mengabui mata penganut agama Judaisme.

Ramai pemikir dan intelektual Yahudi yang unggul dalam ilmu pengetahuan dan falsafah juga menentang fahaman Zionisme. Noam Chomsky seorang daripada mereka. Susuk intelektual ini adalah suara Yahudi yang paling lantang menentang keganasan Israel.

Albert Einstein ahli sains yang menemui teori e=mc2 seorang lagi Yahudi yang anti-Zionisme.

Di Israel sendiri, ramai orang Yahudi-Israel yang menentang fahaman tersebut. Mordechai Vanunu adalah contoh terbaik warga Isreal yang menentang Zionisme.

Susuk ini telah membocorkan kepada dunia tentang senjata nuklear Israel yang kini tersimpan secara rashia di padang pasir Negev. Vanunu diperangkap dan diculik dari London untuk dibawa pulang ke Israel.

Kerana membocorkan rashia 'bom nukelar' Israel dan memberi amaran kepada dunia tentang bahayanya Zionisme, Vanunu telah dipenjara selama 20 tahun sejak 1986. Selama 18 tahun Vanunu dikurung bersendirian. Apabila dibebaskan, Vanunu terus ditahan lagi. Hingga ke hari ini Vanunu tidak boleh keluar meninggalkan Israel.

Pada ketika saya menulis ini, berpuluh-puluh anak muda Israel yang sedang dipenjara kerana tidak mahu mengangkat senjata membunuh warga Arab Palestin. Juga terdapat beratus-ratus anak muda dan warga Israel telah lari meninggalkan negara itu kerana menentang perang dan keganasan daulah Israel.

Semua ini bukti bahawa bukan semua Yahudi itu Zionis. Bukan semua Yahudi menyokong Israel.

Saya mengulangi ini kerana saya perhatikan terlalu ramai warga Malaysia menganggap konflik Palestin-Israel sebagai konflik agama, terutama di kalangan Melayu. Pandangan ini salah. Konflik di Palestin bukan konflik agama. Konflik ini konflik hak milik bumi tanah Palestin. Ia lahir kerana bumi Palestin telah dirampas oleh penganut fahaman Zionisme untuk mendirikan apa yang kini dipanggil Israel.

Konflik di Gaza, Tebing Barat, Jenin, Hebron – umumnya konflik Arab-Israel – bukan konflik antara penganut Islam dengan penganut Yahudi.

Wajib diketahui ada hampir 10 peratus warga Palestin beragama Kristian. Hanan Ashrawi perempuan yang pada 1980-an sering kita dengar namanya kerana memulakan rundingan damai Palestin-Israel ialah seorang Kristian. Edward Said intelektual bertaraf dunia itu seorang Kristian.

George Habaash pemimpin Popular Front for Liberation of Palestine beragama Kristian. Kristian di Palestin adalah Kristian yang berasal-usul dari susur galur pengikut Isa kerana nabi itu dilahirkan di Nazareth, Palestin.

Betul, agama dilihat memainkan peranan penting tetapi yang diperjuangkan ialah menuntut kembali bumi Palestin yang telah dirompak dan dirampas oleh penganut Zionisme. Tanah air Palestin yang telah dirampas ini melahirkan nasionalisme Palestin.
Semangat nasionalisme inilah yang membolehkan rakyat Palestin terus berjuang bermati-matian menentang bala tentera yang terbesar di Timur Tengah.

Kita wajib memahami dengan lebih mendalam tentang apa itu Zionisme. Fahaman ini percaya kepada satu bangsa – Yahudi. Hanya bangsa Yahudi sahaja yang terpilih. Yahudi sahaja yang ada hak keistemewaan di Israel.

Bangsa-bangsa lain diangggap bangsa kelas kedua. Agama orang lain salah. Kitab suci agama mereka sahaja yang betul. Kitab suci agama lain dianggap menyeleweng. Hanya agama mereka sahaja yang dipilih oleh Yang Maha Esa. Justeru, di sini jelas bahawa Zionisme ialah satu fahaman rasis.

Apa yang kita lihat di Gaza dan Tebing Barat hari ini adalah manifestasi daripada fahaman ini. Keganasan yang wujud di Palestin adalah hasil daripada falsafah rasis Zionisme. Merompak tanah-tanah warga Palestin, menghalau mereka keluar dari tanah air mereka juga manifestasi dari fahaman rasis ini.

Kita dikatakan hanya dapat memberikan bantuan ubatan-ubatan, wang ringgit, makanan atau menerima warga Palestin datang ke negara kita untuk belajar atau menetap. Semua ini betul. Semua ini amat-amat dihargai. Semua ini adalah kerja baik yang wajib diteruskan.

Tetapi saya menolak pandangan yang mengatakan bahawa kita tidak dapat membuat apa-apa lagi untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin. Pasti ada lebih daripada ini yang dapat kita sama-sama lakukan.

Pada hari ini bukan susah untuk kita memahami bahawa pendukung unggul fahaman Zionisme dan Israel ialah Amerika Syarikat. Ini bukan kerana adanya Yahudi di New York atau California. Zionisme wujud kukuh di Amerika kerana kepentingan ekonomi Amerika pada ketika ini berjalan selari dengan kepentingan Zionisme dan Israel.

Bukan sahaja Zionis Israel mendapat sokongan kuat dari Amerika, malah Kesatuan Eropah – Perancis, Jerman, Itali – semuanya menyokong Israel. Ini bukan kerana mereka cintakan Yahudi atau benci kepada Palestin – TIDAK. Mereka menyokong Israel kerana kepentingan ekonomi mereka.

Ekonomilah yang menjadi asas kepada fahaman Zionisme ini. Pemodal–pemodal global melihat bahawa Zionisme dapat membantu mereka meneruskan dan mengembangkan modal mereka. Kaum pemodal antarabangsa melihat fahaman Zionisme ini sedang memberikan keuntungan melimpah ruah.

Industri persenjataan dunia bergantung kepada perang. Dengan wujudnya perang atau konflik yang berkemungkinan membawa perang adalah cuaca dan suasana yang amat baik untuk pembuat dan peniaga senjata antarabangsa.

Israel yang sedang memporakperandakan Timur Tengah adalah pemangkin perang.

Lihat bagaimana Amerika menjual dan membekal senjata kepada Isreal - ia menakut-nakutkan negara-negara Arab. Suasana takut ini memberi peluang kepada Amerika untuk menjual senjata kepada Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Negara-negara ini tidak ada bezanya dengan Zionis Israel. Mereka tidak berani secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel – takut kepada rakyat mereka sendiri. Tetapi perangai dan tingkah laku terhadap warga mereka tidak jauh berbeza daripada apa yang sedang dilakukan oleh Israel terhadap warga Palestin.

Apabila kita telah memahami semua ini, saya rasa kita akan dapat melakuan lebih daripada apa yang sedang kita lakukan hari ini. Ada satu perkara yang dapat kita lakukan bersama yang pasti akan memberikan tamparan maut kepada Zionisme. Pekara ini ialah menentang sifat dan fahaman Zionisme di mana sahaja ia muncul dan bertapak.

Zionisme pada ketika ini bukan lagi bergerak di Israel atau di Palestin sahaja. Zionisme telah menjadi fahaman yang meluas dan telah melintasi sempadan Israel. Jika sesiapa memiliki ciri-ciri fahaman rasis yang telah dinyatakan tadi bermakna mereka juga pendukung Zionisme. Zionisme ialah kezaliman.

Di sini ingin saya nyatakan bahawa kita tidak perlu ke Palestin untuk menentang kezaliman. Apa yang perlu kita lakukan ialah menentang kezaliman dan kejahatan di mana sahaja ia berada, termasuk dalam negara kita sendiri. Zionisme tidak memiliki sempadan.

Tetapi, saya agak kecewa apabila melihat orang Melayu berlumba-lumba bangun menentang Isreal yang zalim. Mereka bertempik marah apabila rumah diruntuhkan di Hebron. Tetapi mereka tidak bersuara apabila rumah diruntuhkan di Kampong Berembang atau di Plentong atau di Chubadak.

Orang Melayu marah apabila masjid diroboh di Jenin tetapi orang Melayu tidak marah apabila melihat gereja Orang Asli diruntuhkan di Gua Musang.

Orang Melayu keluar berdemonstrasi kerana tanah rakyat Palestin dirampas tetapi mereka tidak pula bersuara apabila tanah-tanah Orang Penan dirampas. Mereka tidak pula bersuara apabila tanah adat di Sarawak satu demi satu dirampas oleh pemodal antarabangsa.

Hairan. Di mana silapnya fikrah Melayu ini? Kenapa bangsa Melayu memiliki nilai yang setengah jalan? Di mana akal fikrah mereka terputus?

Kalau di Palestin mereka yakin rakyat di sana sedang dizalami, kenapa apabila orang Penan dizalimi hati mereka tidak tergerak untuk membantu?

Apakah mereka tidak memahami bahawa kezaliman dan kejahatan itu tidak berbangsa dan tidak beragama? Kebaikan dan keadilan juga tidak berbangsa dan beragama.

Orang Melayu tidak dapat menerima Ketuanan Yahudi tetapi bagaimana orang Melayu yang sama dapat pula menerima Ketuanan Melayu? Di mana songsangnya fikrah Melayu ini? Apakah mereka telah terputus nilai kemanusiaannya?

Justeru sesudah membaca tulisan ini, marilah kita bersama-sama meneliti dan menilai kembali nilai Melayu kita. Apakah kita benar-benar faham tentang kezaliman dan keadilan.

Atau kita hanya menjadi pak turut – ber-Gaza ke hulu ber-Gaza ke hilir. Orang bercakap hal Gaza, maka kita pun bercakap hal Gaza tanpa kita melihat ke dalam hati nurani kita sendiri.

Anwar tempelak PM 'kongkalikong'

PKR menempelak perdana menteri yang mengalu-alukan penyertaan dua exco kerajaan Perak bersama BN dengan alasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menganggap usaha lompat parti sebagai "tidak bermoral."

"Perdana menteri kongkalikong mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam Umno walhal beliau dan kelompoknya membebel soal tidak bermoralnya langkah tersebut," kata penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua pembangkang juga menyifatkan kehilangan beberapa hari dua wakil rakyatnya itu Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu dalam usaha menyertai BN sebagai "menggerunkan" kerana penggerak utamanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Apakah lompatan terbaru melibatkan sogokan wang dan ugutan pendakwaan rasuah yang terdahulu?

"Najib perlu menjawab kerana penglibatan beliau memujuk kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tersebut," kata Anwar lagi di blognya sebentar tadi.

Beliau mengadakan pertemuan dengan baki semua enam wakil rakyat PKR Perak termasuk Adun Bota, Datuk Nasaruddin yang melompat menyertai parti itu pada 25 Januari.

"Sikap dan pendirian tegas mereka dihargai," katanya.

Anwar berkata beliau telah menjangka "tindakan lebih ganas" oleh pimpinan Umno terhadap Pakatan Rakyat dalam ucapannya di Terengganu menyambut kemenangan calon PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut pertengahan bulan ini.

"Jika ikhlas dan benar pendirian mereka, mengapa harus menghilangkan diri? Bezakan dengan pendirian Nasha di Bota!" katanya lagi.