Perarakan 'keranda' disokong

Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu -- yang berhasrat menganjurkan perhimpunan besar ala-Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bagi membantah pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - akan menyokong 'perarakan keranda' bagi tujuan yang sama bulan depan.

"Kita sokong. Tetapi program (perhimpunan) kita pun kita teruskan," kata pengarah jawatankuasa pelaksana program itu, Hasni Abas.

Selain tindakan mahkamah, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang menaungi 24 persatuan penulis di seluruh negara memutuskan semalam untuk menganjurkan perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu - dinamakan Keranda 152 - selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI, tidak diendahkan.

Setiausaha Dua Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail dilaporkan berkata, kerajaan diberikan peluang terakhir untuk tampil berunding dengan Gapena dan membuat keputusannya.

Menjelaskan lanjut bentuk perhimpunan itu, Dr Hashim berkata, ahli gabungan Gapena, NGO dan penggiat bahasa dijadual berhimpun di ibu pejabat gabungan itu dekat Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum berarak ke Istana Negara, bangunan Parlimen atau balai polis.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni bagaimanapun berkata, sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang dipimpinnya akan memberikan sokongan penuh kepada Gapena jika gabungan itu benar-benar mengadakan perarakan keranda itu.

Tambah beliau, jika perhimpunan besar itu lebih kepada "bergurindam dan bersyair" bagi menyatakan bantahan terhadap PPSMI, sekretariat itu tidak akan terlibat.

Derma kilat


"Agenda politik mesti ditangani dengan (tindakan) politik juga. Tindakan kerajaan itu (melaksanakan PPSMI) jelas tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan," tambah Hasni.

Ditanya pendirian sekretariat itu terhadap Gapena yang mahu menyeret kerajaan ke mahkamah berhubung perlaksanaan dasar itu yang didakwa mencabuli Fasal 152 Perlembagaan Malaysia, Hasni berkata:

“Kalau melalui undang-undang ini, kita tahu, mungkin tergantung (keputusannya) dan akan jadi lambat.”

Gapena kelmarin mengumpulkan RM7,000 melalui derma kilat sewaktu majlis perbincangan antara gabungan itu dan NGO Melayu, melibatkan kira-kira 20 tokoh bahasa dan sastera bagi menampung kosmenyaman kerajaan Malaysia.

Gabungan itu kali pertama dilaporkan mengancam menyaman kerajaan bulan lalu sekiranya dasar PPSMI yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu itu, masih diteruskan.

Bagaimanapun, sehingga 31 Disember lalu - tarikh akhir yang diberikan Gapena - kerajaan tidak membuat sebarang keputusannya berhubung tuntutan mereka.

0 comments: